Teknologi pengukiran digital menggunakan mesin CNC bukanlah sesuatu yang baru di dunia. Ia adalah teknologi yang banyak membantu dalam industri pembuatan pelbagai sektor terutamanya perabot. Flatpak pula bukanlah sebuah syarikat yang membangunkan teknologi tetapi lebih fokus kepada pengolahan bahan terutamanya kayu menjadi hasil yang kreatif bagi menambah nilai daya saing pasaran perabot dan perkayuan.
Negara Malaysia banyak bergantung kepada produk import malah ada yang memandang rendah terhadap keupayaan negara untuk menghasilkan produk yang inovatif sedangkan bakat-bakat ini sentiasa ada dan bersedia untuk meneroka pasaran tempatan. Dalam ekonomi yang bergelora sekarang, ramai memilih untuk tidak berlayar meneroka peluang mencuba sesuatu yang unik kerana risikonya terlalu tinggi dan haluannya kabur dibawa arus. Flatpak memberanikan diri mengemudi haluan untuk memastikan kemapanan syarikat berjalan searus dengan pembangunan buah fikiran kreatif, matang dan berobjektif.
Bermula dari menumpang dipejabat rakan untuk memulakan syarikat permulaan pada tahun 2016, kini kami berdiri semakin teguh walau ada hari yang mendung, kami kekalkan momentum dan pilih untuk istiqamah sebelum mengeluh dan mengalah. Kami tidak sekali mengimpikan sebuah perniagaan bernilai tinggi tanpa mengambil berat terhadap ahli kumpulan kami. Flatpak menuju ke arah suatu syarikat yang "inclusive", meraikan perbezaan perangai individu yang semestinya mencorakkan pelbagai hasil tersendiri.